Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Anthony Loke selepas mesyuarat pengambil alihan Pelabuhan Bintulu di Kuching, hari ini. FOTO IHSAN PEJABAT TIMBALAN PREMIER SARAWAK
Kuching: Kerajaan Persekutuan menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak berkuat kuasa Jun ini.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak memaklumkan, Kementerian Pengangkutan Malaysia akan membentangkan Rang Undang-Undang pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 pada Sesi Persidangan Parlimen 2024.
"Ia bagi memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terkesan dan terganggu oleh proses pertukaran status selepas pengambil alihan oleh kerajaan Sarawak.
"Kerajaan Sarawak pula akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) mengikut Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961.
"Memorandum Persefahaman (MoU) pengambil alihan itu akan ditandatangani pada bulan Februari 2024 bagi merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak," kata kenyataan itu.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, November lalu Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata kerajaan Sarawak bertegas untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu bagi mengembalikan haknya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).