Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Glamping Ramadan jadi tarikan utama Iftar Perdana di Tebingan Kuching
27 Feb 2026


Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada sidang media bagi mengumumkan program Iftar Perdana 2026. Foto Aziz Soleh (TVS)

 

KUCHING, 27 Feb: Konsep ‘Glamping Ramadan’ bakal menjadi tarikan utama Program Iftar Perdana di Tebingan Kuching yang kembali dianjurkan pada 7 Mac ini, dengan sasaran kehadiran mencecah 5,000 orang termasuk pelancong luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, konsep ‘glamorous camping’ itu diperkenalkan bagi memberi pengalaman berbuka puasa yang unik dan eksklusif di tepi Sungai Sarawak.

Menurutnya, keluarga dan pengunjung boleh membawa khemah sendiri untuk dipasang di sepanjang kawasan tebingan sungai, sekali gus mewujudkan suasana santai dan tersusun untuk berbuka puasa secara terbuka.

 

“Kita sediakan satu lagi program yang disebut sebagai ‘glamping’ Ramadan, iaitu ‘glamorous camping’ di mana keluarga boleh membawa khemah untuk dipasang di sepanjang tebingan sungai.

“Konsep ini telah menjadi aktiviti popular di bandar raya Kuching sejak tahun lepas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran kali ini diperluaskan merangkumi seluruh kawasan tebingan sungai bagi memberi keselesaan kepada warga kota, berbanding kehadiran sekitar 3,000 orang pada tahun lalu.

Program kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Islam Sarawak (MIS) itu bukan sahaja menggalakkan budaya berbuka puasa secara terbuka, malah memperkukuh semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Kawasan penganjuran bermula dari Hotel Grand Margherita sehingga ke kawasan Masjid Bandaraya (Masjid India), selain penyediaan ruang solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di Masjid Bandaraya serta lokasi tambahan di sekitar Amphitheatre dan Godown 3 dan 4.

Orang ramai turut digalakkan membawa tikar dan makanan sendiri secara ‘potluck’, manakala MIS melalui Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan mengagihkan kira-kira 5,000 pek bubur lambuk kepada pengunjung.

Beberapa badan korporat termasuk Bintulu Port telah mengesahkan penyertaan sebagai penaja bagi menjayakan program berkenaan.

TVS