BINTULU: Sarawak merekodkan 217 kes baharu HIV pada tahun lepas di mana sebanyak 66 peratus penyumbang kes adalah dari Kuching, Miri dan Bintulu, kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV/STI/Hepatitis C Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ruziana Miss.
Menurutnya, dengan melaporkan 36 kes baharu, bahagian Bintulu menyumbang 16.6 peratus daripada keseluruhan jangkitan baharu di negeri ini menjadikannya sebuah kawasan yang memerlukan intervensi yang lebih intensif bagi mengekang penularan jangkitan.
"Dengan tema sambutan 'Mengatasi Gangguan, Mengubah Respons Terhadap AIDS', ia menjadi cabaran yang harus dihadapi oleh semua pihak berkaitan bagi memastikan masyarakat awam mengetahui dengan lebih mendalam akan bahana AIDS/HIV serta langkah proaktif bagi mengekang penularannya," jelas beliau.
Dr Ruziana berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Bahagian Bintulu 2025 di Hotel Promenade Bintulu di sini, hari ini.
Jelasnya, tema sambutan pada tahun ini mencerminkan bahawa kemajuan besar yang dicapai semua pihak dalam memerangi HIV kini sedang diuji oleh perubahan corak kehidupan serta gangguan stigma masyarakat serta halangan sosial yang masih wujud dalam kalangan masyarakat.
"Transformasi yang kita impikan bukan hanya melalui polisi baharu tetapi perubahan minda dan pembaharuan tindakan di peringkat komuniti bagi mewujudkan kesedaran yang lebih menyeluruh mengenai penyakit yang semakin menular dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Sudah tentu katanya, semua pihak berkumpul di Bintulu semalam kerana memfokuskan perjuangan di kawasan-kawasan tertentu dan Bintulu merupakan kawasan tumpuan utama.
"Data terkini tahun 2024 menggambarkan situasi yang perlu kita semua beri perhatian kerana ia memerlukan tindakan segera dan komprehensif, khususnya kesedaran dari peringkat akar umbi mengenai bahaya AIDS/HIV serta langkah mencegah penularannya," jelas beliau.
Apa yang menjadi tumpuan semua pihak pada masa sekarang adalah menekankan tiga aspek utama iaitu memperkasa pendekatan berasaskan komuniti, menormalisasikan ujian dan pencegahan serta menghapuskan stigma masyarakat.
Justeru, pemimpin dan pendidik harus berganding bahu bagi menegakkan dasar yang menolak diskriminasi, sebaliknya memperjuangkan pendidikan HIV yang menyeluruh dan berfakta kepada golongan muda yang merupakan kumpulan paling berisiko tinggi terdedah kepada virus HIV/AIDS ini.
Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak Dato Anne Teng, Pengarah Hospital Bintulu Dr Suzalinna Sulaiman serta Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB Maslihah Tioh antara yang hadir. - Utusan Borneo