Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Bersama pelihara, hidupkan warisan dan budaya
27 Aug 2025


KUCHING: Lebih banyak agensi kerajaan, syarikat, korporat dan organisasi lain digesa untuk bersama memelihara serta menghidupkan warisan dan budaya termasuk pantun agar ia terus relevan dengan masyarakat masa kini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehubungan itu beliau amat mengalu-alukan inisiatif yang diambil Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menerusi usaha mereka dalam Siri Pantun Bintulu Port bersama Penambang Sungai Sarawak.

“Inisiatif Bintulu Port ini amat unik kerana ia tidak hanya berbentuk sumbangan semata-mata, tetapi disusuli dengan usaha kreatif menerusi hiasan pada 16 buah bumbung perahu penambang di sepanjang Sungai Sarawak dengan bait-bait pantun bertemakan perpaduan dan nasihat.

“Apabila perahu menyusuri Sungai Sarawak, bukan sahaja ia menjadi medium pengangkutan para pelancong, tetapi juga sebuah platform bergerak yang membawa warisan bangsa.

“Anak-anak muda, pelancong-pelancong dari dalam mahupun luar negara serta masyarakat umum dapat melihat, membaca, menjiwai dan menghargai pantun dalam suasana yang santai tetapi sarat dengan nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) Datu Dr Sabariah Putit sempena melancarkan Siri Pantun Bintulu Port bersama Penambang Sungai Sarawak di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap inisiatif Bintulu Port itu menjadi contoh bagaimana sebuah syarikat korporat bukan sahaja berbakti kepada komuniti tetapi turut menyumbang kepada pemeliharaan budaya dan identiti bangsa.

Katanya, beliau percaya usaha sebegini akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kerana warisan yang dipertahankan itu akan menjadi harta tidak ternilai kepada generasi akan datang.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pantun sebagai khazanah agung bangsa Melayu yang melambangkan kecerdikan, kehalusan budi serta warisan turun-temurun sejak ratusan tahun, malah telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Dunia.

“Namun lebih penting, kita sendiri mempunyai tanggungjawab memastikan pantun terus hidup dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Kita tidak boleh membiarkan warisan kita luput begitu sahaja, apatah lagi dalam dunia moden yang mudah lupa akar umbi tradisi kita,” tegasnya.

Abdul Karim berkata, menerusi inisiatif Bintulu Port itu juga, ia membuktikan bahawa warisan bukan sekadar boleh dipelihara tetapi juga boleh dihidupkan dengan cara kreatif, segar dan relevan dengan masyarakat masa kini.

“Inilah yang saya harapkan, agar usaha ini menjadi permulaan kepada lebih banyak program budaya yang inklusif dan memberi impak yang positif kepada komuniti,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Maslihah Tioh mewakili Presiden Bintulu Port Ruslan Abdul Ghani.