
Iskandar (kanan) menyertai masyarakat Islam setempat dan orang ramai berbuka puasa di kawasan terbuka menghadap Jambatan Tun Taib Mahmud di muara sungai Kemena.
BINTULU: Berbuka puasa beramai-ramai di kawasan lapang atau tempat terbuka mampu menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat setempat.
Ia semakin popular setiap kali sambutan Ramadan dengan peserta terlibat berpeluang menikmati panorama indah secara santai dan meriah dengan konsep perkelahan sambil menikmati juadah apabila masuknya waktu berbuka puasa.
Antaranya ialah Program Juh Sungkey Lua 2026 anjuran Bintulu Info yang telah memasuki edisi ke-9 diadakan di Lasar Kenyalang Bintulu pada petang semalam.
Program ini disertai 1,500 peserta yang teruja untuk menikmati panorama indah tersergamnya Jambatan Tun Taib Mahmud di muara Sungai Kemena Bintulu sambil memahat memori yang sukar dilupakan untuk dikongsikan bersama semasa menikmati juadah berbuka puasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Turkee yang menyertai program itu berkata, program seperti ini mampu terus menjadi ruang untuk berkumpul, berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Iskandar (kanan) berbuka puasa bersama masyarakat setempat di kawasan terbuka.

Iskandar (tiga kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada peserta program.
"Alhamdulillah, meriah sungguh suasananya dengan dianggarkan lebih 1,500 pengunjung hadir memeriahkan edisi ke-9 program ini," katanya.
Beliau berkata, program ini bukan sahaja disertai oleh masyarakat Islam yang menjalani ibadah berpuasa, malah turut disertai masyarakat bukan Islam dari pelbagai kaum termasuk anak-anak muda dan pelajar universiti.
Katanya, ini merupakan semangat kebersamaan dan perpaduan yang dimahukan untuk terus dipupuk di bandar ini.
Di samping berbuka puasa, aktiviti sebelumnya di venue yang sama Iskandar menyempurnakan pengagihan 200 pek bubur lambuk kepada orang ramai yang hadir anjuran Bindiv dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN N67 Jepak.

Iskandar menyantuni masyarakat setempat mengambil air minuman serta bubur pedas yang disediakan secara percuma.
Katanya, ia merupakan inisiatif pemuda Bindiv dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN N67 Jepak, terima kasih kepada semua pihak yang turut menyumbang
dan menjayakan program ini.
Turut disampaikan kepada pengunjung adalah 1,000 bekas bubur pedas sumbangan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), minuman sumbangan peniaga tempatan terdiri Pendhekar Burger dan Air Balang Wawa, manakala aiskrim goreng sumbangan Madam Suriani.
Iskandar berkata, pihaknya mengucapakan penghargaan kepada komuniti Bintulu Info, Bintulu Car Boot Sale serta Pusat Khidmat Rakyat N67 Jepak atas kerjasama menganjurkan program yang penuh makna ini.

Iskandar (kanan) menyerahkan minuman percuma kepada salah seorang peserta program.