Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

SFC seru syarikat korporat sertai projek tukun bebola
30 Jul 2026


Datuk Majang Renggi bersama tetamu jemputan meninjau tukun bebola tiruan sebelum diturunkan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju, Bintulu.

 

BINTULU, 30 Julai: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mempelawa lebih banyak penyertaan syarikat korporat dalam projek tukun bebola menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memperluaskan usaha pemuliharaan habitat marin di Sarawak.

Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja dibiayai kerajaan, malah turut diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan lebih banyak projek tukun bebola dilaksanakan bagi memulihkan habitat marin, meningkatkan sumber perikanan serta melindungi kawasan penangkapan ikan tradisional.

“Untuk makluman, SFC merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan Program Tukun Bebola di Sarawak.

“Program ini bukan sahaja dibiayai kerajaan, malah turut dilaksanakan melalui kerjasama dan pembiayaan daripada Bintulu Port Authority (BPA).

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program pemuliharaan dan pemulihan terumbu karang serta penguatkuasaan tukun bebola,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju di sini, hari ini.

Abang Arabi menjelaskan, selain BPA, SFC turut bekerjasama dengan Petronas serta beberapa NGO dalam menjayakan inisiatif pemuliharaan marin berkenaan.

Program itu merupakan kerjasama antara Pembinaan Tukun Bebola (Sarawak) Sdn. Bhd. (PTBSB), SFC dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), yang menyaksikan sebanyak 80 unit tukun bebola diturunkan di perairan Kuala Nyalau.

Sejak 2022, PTBSB menyumbang sebanyak 467 unit tukun bebola di beberapa lokasi di Sarawak.

Projek di Kuala Nyalau itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang yang menyasarkan penempatan 5,000 unit tukun bebola menerusi kerjasama lebih banyak rakan strategik korporat bagi memperkukuh pemuliharaan biodiversiti marin serta kelestarian sumber perikanan negeri.

TVS