BINTULU: Malaysia terus memperkukuh hala tuju ke arah Negara AI 2030 dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, keselamatan digital dan infrastruktur teknologi berskala besar.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, keutamaan tersebut selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengangkat kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, agenda nasional itu bukan hanya berkisar penggunaan teknologi, sebaliknya menekankan kepentingan memanfaatkan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus, perniagaan dan kehidupan seharian rakyat.
“Aspirasi ini berteraskan tiga matlamat utama, menjadikan Malaysia Hab AI Serantau, menghasilkan produk ‘Made by Malaysia’ serta memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan.
“Kita membayangkan masa depan di mana kita bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta, pemilik dan pengeksport teknologi kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bintulu Port Digital Day 2025 di sini, pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada lima tonggak utama termasuk dasar futuristik, ekosistem bakat, kepercayaan digital dan infrastruktur generasi baharu yang diyakini mampu memperkukuh daya saing negara.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato’ Ruslan Abdul Ghani dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), Datuk Sharkawi Alis.- EDISI UKAS
Malaysia Ke Arah Negara AI 2030
25 Nov 2025