BINTULU, 25 Feb — Seramai 60 anak yatim dan individu kurang berkemampuan menerima sumbangan Hari Raya menerusi program komuniti ‘Ramadan Jalinan Kasih’ di Surau Darus Syakirin, Kampung Assyakirin, petang tadi.
Program anjuran Yayasan Pelabuhan Bintulu dengan kerjasama Bintulu Port Holdings Berhad, sebagai usaha membantu golongan memerlukan membuat persiapan Aidilfitri.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan penerima serta memastikan mereka turut merasai keprihatinan masyarakat menjelang Syawal.
Menurutnya, program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kebajikan Amal Islam, sebagai komitmen memperkukuh hubungan antara korporat dan komuniti setempat.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.