Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

BPHB, SIPG jalin kerjasama transformasi digital pelabuhan
10 Apr 2026


Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pengendali pelabuhan terkemuka dunia, Shanghai International Port Group (SIPG) bagi meneroka model kerjasama baharu dalam transformasi digital dan menaik taraf fasiliti pelabuhan secara pintar.

 

BPHB, SIPG jalin kerjasama transformasi digital pelabuhan

 

SHANGHAI, 10 April: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pengendali pelabuhan antarabangsa, Shanghai International Port Group (SIPG), bagi meneroka kerjasama baharu dalam bidang transformasi digital serta pemodenan fasiliti pelabuhan secara pintar.

Inisiatif strategik ini bertujuan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai antara pengendali pelabuhan paling cekap di Malaysia, selain memperluas peranannya sebagai pemain utama dalam industri maritim global melalui penggunaan teknologi pintar dan peralatan canggih.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong di ibu pejabat SIPG di Shanghai, China hari ini.

Menurut kenyataan BPHB, kerjasama itu akan membina momentum daripada kejayaan pelaksanaan Sistem Terminal Operasi Pelabuhan di Bintulu Port sebelum ini, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan kecekapan operasi dan pemerkasaan transformasi digital.

“Langkah strategik ini akan mengukuhkan visi Pelabuhan Bintulu untuk memposisikan dirinya sebagai pengendali pelabuhan yang cekap di Malaysia dan dalam industri maritim global yang sedang berkembang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa kolaborasi berkenaan mencerminkan komitmen BPHB dalam memperkukuh keupayaan agar selari dengan aspirasi Pelabuhan Hijau dan Pintar Sarawak, yang merupakan komponen penting dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Kerjasama dengan SIPG ini dijangka membawa kemajuan dan integrasi teknologi yang tidak ternilai kepada Pelabuhan Bintulu, selaras dengan matlamatnya untuk menjadi penyedia perkhidmatan dan penyelesaian bersepadu,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk menghubungkan dedikasi dalam menyampaikan nilai secara bertanggungjawab kepada pelanggan mereka di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani bersama Naib Presiden SIPG Co. Ltd, Liu Changman. – TVS