Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melancarkan reka bentuk bumbung baharu untuk 16 buah bot penambang tradisional di sepanjang Sungai Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
KUCHING, 21 Julai: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melancarkan reka bentuk bumbung baharu untuk 16 buah bot penambang tradisional di sepanjang Sungai Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Inisiatif berkenaan membina kejayaan siri sulung 2025 yang mengubah bot sungai terbabit menjadi platform bergerak memaparkan seloka pantun Melayu bagi meraikan perpaduan, nilai, serta warisan Sarawak, di samping membawakan koleksi pantun baharu untuk memberikan nafas baharu kepada bot-bot tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, inisiatif itu mencerminkan kepercayaan bahawa warisan harus dialami dan dikongsi bersama dan bukan sekadar dipelihara.
”Budaya hidup apabila ia terus berhubung dengan orang ramai.Menerusi Siri Pantun Bintulu Port, kami berharap dapat mendekatkan warisan kepada kehidupan seharian dengan mengubah bot tradisional ini menjadi pencerita bergerak di sepanjang Sungai Sarawak,” katanya dalam kenyataan media rasmi BPHB di sini, hari ini.
Beliau menambah inisiatif itu turut menyokong pengusaha bot penambang yang bergantung kepada sungai bagi mencari rezeki dengan mempertingkatkan tarikan bot mereka serta membantu memelihara landskap budaya Kuching.
Inisiatif tersebut memperkukuh perkongsian BPHB dengan pengusaha bot penambang Sungai Sarawak sebagai penjaga warisan yang hidup.
Pantun Melayu yang diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan merangkumi pengetahuan berabad-abad lamanya serta nilai sosial yang diharapkan dapat terus relevan dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Pengurus Besar Perhubungan Stakeholder Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh berkata, kesinambungan siri ini mencerminkan komitmen organisasi terhadap tanggungjawab sosial korporat.
”Siri Pantun Bintulu Port lebih daripada sekadar penambahbaikan visual bot tradisional; ia berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan sejarah, komuniti, dan generasi masa depan,” ujarnya dalam kenyataan yang sama.
Pengenalan reka bentuk baharu itu menandakan satu lagi pencapaian dalam perjalanan tanggungjawab sosial korporat budaya Bintulu Port sebagai peringatan, sempena sambutan Hari Sarawak 2026, bahawa warisan sentiasa perlu dialami, dikongsi dan dibawa ke hadapan. – TVS