Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Siri Pantun Bintulu Port perkasa bahasa dan seni warisan
27 Aug 2025


KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memberi komitmen dalam usaha memartabatkan bahasa dan seni agar tidak hilang ditelan zaman melalui penganjuran Siri Pantun Bintulu Port.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata, pantun bukan untuk dipamerkan di muzium sahaja, tetapi untuk terus hidup dalam komuniti termasuk di sungai, bandar, desa dan di hati masyarakat.

Usaha tersebut, katanya, penting kerana ia bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang.

“Pepatah Melayu juga ada menyebut: Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Justeru, usaha kita hari ini adalah untuk memastikan bahasa dan seni tidak hilang ditelan zaman.

“Saya percaya, Siri Pantun Bintulu Port ini akan menjadi permulaan kepada inisiatif budaya yang inklusif, kreatif dan memberi impak tinggi. Inilah tanggungjawab sosial korporat kami untuk terus bersama memartabatkan warisan sekali gus memberi nilai tambah kepada komuniti, pelancongan negeri dan para pengusaha penambang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh pada Majlis Perasmian Siri Pantun Bintulu Port di English Tea House, di sini, hari ini.

Tambahnya, semasa penganjuran Sarawak Regatta 2024 pihaknya telah memulakan kerjasama dan menunjukkan keprihatinan kepada pengusaha perahu penambang Sungai Sarawak.

“Kami memahami cabaran yang mereka hadapi dan untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka bergantung kepada rezeki membawa perahu penambang.

“Dalam usaha membantu meringankan beban tersebut, tercetuslah idea untuk terus berkolaborasi dengan menjadikan bot penambang sebagai kanvas budaya yang bergerak sekali gus menambah nilai ekonomi dan sosial kepada pengusaha penambang itu sendiri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, apa yang dilancarkan itu juga merupakan hasil kerjasama yang baik apabila sebanyak 16 buah bot penambang dihiasi bait-bait pantun bertemakan perpaduan, nasihat dan kasih pada warisan bangsa.

“Apabila bot-bot ini berlayar di Sungai Sarawak, ia bukan sekadar membawa penumpang, malah menjadi duta budaya, papan iklan warisan dan wadah pendidikan yang santai tetapi berkesan.

“Lebih penting, inisiatif ini juga membantu kelangsungan hidup para penambang dengan menjadikan perahu mereka lebih menarik kepada pandangan pelancong dan pengguna tempatan.

“Inilah komitmen Bintulu Port iaitu membantu komuniti, memperkasa budaya, dan dalam masa yang sama kekal giat menyemarakkan ekonomi sosial kepada golongan yang memerlukan,” tegasnya.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan Pengerusi Warisan Pintar Kuching Lama (OKSHE), Datuk Dr Sabariah Putit yang mewakili Abdul Karim menyerahkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat Bintulu Port Prihatin bernilai RM32,000 kepada Pengusaha Perahu Penambang Sungai Sarawak.

Suara Sarawak