Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Sarawak teruskan usaha memperkasa pembangunan digital dan hijau: Ugak
25 Nov 2025


BINTULU: Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha memperkasa serta mentransformasikan pembangunan digital dan hijau, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Menurutnya, pendigitalan merupakan suatu proses yang berterusan yang mana generasi muda harus melengkapi diri dengan ilmu yang mencukupi bagi membolehkan mereka terus melangkah ke hadapan dengan teknologi digital termasuk menguasai kecerdasan buatan (AI).

"Inisiatif yang kerajaan Sarawak lakukan pada masa sekarang ialah sebagai persediaan ke arah sebuah negeri yang pintar, hijau dan sepenuhnya mempraktikkan pendigitalan pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Hari Digital Pelabuhan Bintulu 2025 di Auditorium Lembaga Pelabuhan Bintulu di sini, hari ini.

Ugak berkata, sambutan yang julung kalinya diadakan ini bukan sekadar satu pencapaian digital bagi Pelabuhan Bintulu, tetapi menjadi titik permulaan yang lebih progresif bagi menerajui ekonomi digital pada masa akan datang.

Beliau dalam pada itu memuji visi serta kepimpinan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) Dato Ruslan Abdul Ghani dalam menerajui pelan transformasi pelabuhan termasuk matlamat jangka panjang bagi menjadikannya sebuah pelabuhan yang berautomasi sepenuhnya menjelang tahun 2050.

Transformasi yang berterusan katanya, antara usaha bagi memperkasa Pelabuhan Bintulu selaras dengan hala tuju negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.

Ugak dalam ucapannya turut menekankan lima tonggak utama strategik kerajaan iaitu dasar berpandangan jauh, pembangunan bakat, strategi kepercayaan digital termasuk pelaburan berkualiti sebagai asas kepada ekonomi digital.

Bagi tujuan itu jelasnya, kerajaan telah menetapkan visi yang tinggi untuk menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK melalui ekonomi digital menjelang 2025.

"Selain itu, sudah pasti matlamat utama kerajaan ialah bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan," katanya.

Di peringkat negeri pula katanya, Sarawak akan terus menjadi peneraju utama melalui Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dipacu Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru katanya, Pelabuhan Bintulu berperanan sebagai pintu masuk strategik ke Sarawak dan ASEAN dengan memainkan peranan penting sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang mempraktikkan pengurusan secara digital dan dan mesra alam. - Utusan Borneo