
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM26.56 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (Q4FY2025).
Dalam kenyataan, kumpulan itu memaklumkan prestasi suku berkenaan disokong aliran pengendalian gas asli cecair (LNG) yang mampan serta peningkatan aktiviti kargo pukal.
Hasil operasi meningkat 0.56 peratus kepada RM221.19 juta berbanding RM219.96 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan itu, peningkatan berkenaan didorong prestasi lebih kukuh di Pelabuhan Perindustrian Samalaju dengan hasil naik 7.04 peratus kepada RM42.86 juta berbanding RM40.04 juta dalam suku sama tahun lalu.
Hasil daripada kemudahan pukal turut berkembang 11.58 peratus kepada RM13.52 juta berbanding RM12.11 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil pelabuhan Bintulu menyusut 1.78 peratus kepada RM164.82 juta, mencerminkan sumbangan yang lebih perlahan sepanjang tempoh berkenaan.
Keuntungan selepas cukai bagi Q4FY2025, bagaimanapun, merosot daripada RM40.88 juta kepada RM26.56 juta susulan peningkatan perbelanjaan operasi melibatkan kos berkaitan gaji, pembaikan dan penyelenggaraan serta kos pentadbiran.
Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku keempat itu ialah 5.77 sen berbanding 8.88 sen dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025, kumpulan merekodkan hasil operasi RM822.15 juta berbanding RM828.30 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai bagi tempoh itu berjumlah RM121.89 juta dengan EPS 26.50 sen, manakala EBITDA kekal kukuh pada RM419.66 juta.
Gas cecair asli (LNG) kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, manakala operasi di Samalaju, kontena dan kargo pukal terus menyediakan sokongan kepelbagaian pendapatan.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen satu peringkat lima sen sesaham yang akan dibayar pada 17 April 2026, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 15 sen sesaham.
Walaupun kadar dividen kekal sama seperti tahun sebelumnya, jumlah pembayaran RM69 juta mewakili peratusan agihan keuntungan yang lebih tinggi, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kumpulan dalam memberi pulangan kepada pemegang saham.
Kumpulan menjangkakan LNG akan terus menjadi pemacu utama hasil dengan sumbangan positif pengendalian kargo di Bintulu dan Samalaju.