Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Ruslan yakin BPHB terus berkembang di bawah kepimpinan baharu
22 Sep 2026


Ruslan berucap pada Makan Malam Apresiasi Bintulu Port Holdings Berhad di sebuah hotel di Bintulu, malam tadi.

BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) diyakini mampu meneruskan momentum pertumbuhan dan pencapaiannya di bawah kepimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Anuar Ismail.

Keyakinan itu disuarakan mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Datuk Ruslan Abdul Ghani, yang kini menerajui Sarawak Energy Berhad (SEB), selepas mengakhiri tempoh tiga tahun menerajui kumpulan berkenaan sejak Mac 2023.

Beliau berkata perubahan kepimpinan tidak seharusnya menjejaskan momentum yang telah dibina, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada usaha memperkukuh operasi, inovasi dan sumbangan BPHB kepada Sarawak.

“Saya meninggalkan BPHB dengan penuh keyakinan, bukan sekadar harapan, bahawa BPHB akan terus berkembang dari segi kekuatan kepada kekuatan.

“Teruskan bekerja sebagai satu pasukan dan terimalah perubahan, bukannya takut kepadanya,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Apresiasi Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Ruslan berkata tempoh tiga tahun beliau menerajui BPHB menyaksikan pelbagai pencapaian penting, termasuk pemulangan rasmi Bintulu Port kepada Sarawak selepas 48 tahun berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ruslan, pencapaian berkenaan dilaksanakan dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menjadi antara pencapaian paling membanggakan sepanjang tempoh beliau menerajui BPHB.

Suara Sarawak