
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Anjung Kasih Hospital Bintulu, di sini hari ini. Foto Shaffiee Bakir (TVS)
BINTULU, 3 Ogos: Hospital Bintulu menjadi hospital pertama di Malaysia memperkenalkan Anjung Kasih Management System, sistem pengurusan digital yang membolehkan proses pendaftaran dan penginapan waris pesakit dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan berasaskan data.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan sistem digital itu selari dengan agenda pendigitalan kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk dalam aspek kebajikan rakyat.
Menurutnya, sistem berkenaan membolehkan rekod penghuni disimpan secara berpusat sekali gus memudahkan pemantauan, pengurusan kapasiti penginapan serta penyelarasan maklumat waris pesakit yang menggunakan kemudahan tersebut.
“Anjung Kasih Hospital Bintulu menjadi yang pertama menggunakan Anjung Kasih Management System bagi menguruskan pendaftaran dan penginapan secara digital.
“Apabila semuanya direkodkan secara digital, kita boleh mengesan maklumat waris termasuk asal mereka. Data yang lengkap akan memudahkan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika merasmikan Anjung Kasih Hospital Bintulu, di sini hari ini.
Katanya, penerapan teknologi digital dalam pengurusan kebajikan membuktikan bahawa inovasi bukan hanya tertumpu kepada sektor ekonomi, malah mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Pendekatan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda keterangkuman sosial di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat sokongan,” tambahnya.
Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Yayasan Bintulu Port dan Hospital Bintulu.
Kemudahan tersebut diwujudkan bagi menyediakan tempat penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang datang menemani ahli keluarga mendapatkan rawatan, khususnya mereka yang datang dari kawasan jauh.
“Kejayaan Hospital Bintulu melaksanakan sistem tersebut diharap menjadi contoh kepada hospital lain, termasuk projek Anjung Kasih yang bakal dibangunkan di Kuching.
“Kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan Anjung Kasih baharu di Kuching dengan mengekalkan bangunan warisan bekas pusat latihan jururawat di Hospital Umum Sarawak sebelum membangunkan blok baharu setinggi lapan tingkat di bahagian belakang tapak berkenaan,” tambahnya.
Menurutnya, kemudahan berkenaan akan menyediakan lebih banyak ruang penginapan kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital utama negeri.
Penglibatan sektor korporat dalam agenda kebajikan membuktikan peranan penting pihak swasta sebagai rakan pembangunan sosial dalam membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat. – TVS