Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Zon bebas cukai Bintulu dijangka tarik lebih ramai pelabur
14 May 2026


Datuk Majang Renggi menyempurnakan gimik perasmian dengan memalu gong pada Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu Tahun 2026 di Restoran Dinnerworld Bintulu. Foto TVS

BINTULU, 18 Mei: Penubuhan kawasan “free port zone” atau zon bebas cukai di Bintulu dijangka menarik lebih ramai pelabur untuk menggunakan pelabuhan di kawasan itu sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, penubuhan zon berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia pada awal tahun ini.

Menurut beliau, inisiatif itu juga diyakini mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat di Bintulu melalui pertumbuhan aktiviti ekonomi dan pelaburan.

“Dengan adanya zon bebas cukai ini, ia sudah tentu akan menarik lebih ramai pelabur untuk menggunakan pelabuhan di Bintulu.Pada masa sama, langkah ini juga dijangka dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi pertumbuhan ekonomi dan peluang pelaburan yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu Tahun 2026 di Restoran Dinnerworld di sini, malam tadi.

Beliau berkata, selain penubuhan zon bebas cukai, Kerajaan Sarawak juga sedang melaksanakan langkah memperkukuh tadbir urus pelabuhan menerusi pengkorporatan dan pengelompokan enam pelabuhan utama di negeri ini mengikut kepakaran masing-masing, usaha itu dijangka dapat meningkatkan prestasi pelabuhan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar.

Mengenai Sambutan Hari Gawai Dayak  katanya, perayaan itu kini bukan lagi sekadar platform meraikan hasil tuaian padi, sebaliknya turut menjadi medium menghargai kejayaan masyarakat Dayak dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kerjaya.

“Kalau dahulu masyarakat Dayak banyak bergantung kepada penanaman padi, namun kini kehidupan telah berkembang ke pelbagai bidang lain termasuk ekonomi, pendidikan dan kerjaya.

“Gawai Dayak juga menjadi platform untuk meraikan kejayaan anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mereka yang dinaikkan pangkat dan masyarakat yang berjaya dalam bidang ekonomi,” katanya.

Jelasnya, Gawai turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat selain memupuk semangat saling menghormati dan memaafkan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Bintulu selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, antara pengisian utama Gawai yang diadakan ialah acara niti daun, pertandingan menyumpit dan pertandingan Kumang Gawai.

Menurut beliau, program yang dianjurkan bukan sahaja memeriahkan sambutan malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.

“Acara Niti Daun yang diadakan di Esplanade Bintulu melibatkan lebih 77 kontinjen perarakan dengan penyertaan kira-kira 3,000 peserta.Program ini menjadi manifestasi kekayaan budaya serta semangat kebersamaan masyarakat pelbagai kaum di Bintulu,” katanya.

Katanya, pertandingan menyumpit dan pertandingan Kumang Gawai turut menjadi antara tarikan utama sambutan tahun ini sekali gus membantu memelihara warisan budaya masyarakat Dayak agar terus dihargai generasi muda.-TVS