Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Tajaan RM1.9 juta, Anjung Kasih Hospital Bintulu tawar penginapan percuma waris pesakit
03 Aug 2026


DSC00339

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu, Sarawak.

KUALA LUMPUR – Hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperkasakan agenda kebajikan rakyat terus diperkukuh menerusi perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu, Sarawak.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, Anjung Kasih merupakan kemudahan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan.

Menurutnya, ia adalah hasil kerjasama strategik Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Bintulu Port.

“Ini merupakan Anjung Kasih ke-20 yang diwujudkan di hospital kerajaan seluruh negara. Projek ini bernilai RM1.9 juta sumbangan penuh Bintulu Port Holdings melibatkan kerja menaik taraf sebuah bangunan kuarters jururawat lama kepada premis yang selesa dan kondusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata, Anjung Kasih Hospital Bintulu dilengkapi 25 bilik penginapan termasuk sebuah bilik mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang mampu menampung sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.

Ia turut menyediakan kemudahan ruang tamu, bilik kaunseling, ruang aktiviti, pantri, surau serta bilik membasuh secara percuma bagi menjamin keselesaan waris sepanjang menemani pesakit.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN memberitahu, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun 2006 sehingga Jun lalu, seramai 132,535 waris pesakit telah mendapat manfaat di seluruh negara.

“Sarawak kini mempunyai empat premis Anjung Kasih iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Bintulu.

“Saya menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan yayasan korporat untuk tampil bekerjasama dengan YKN bagi memperluaskan inisiatif kebajikan demi kesejahteraan masyarakat secara bersama.

“Saya percaya, semakin ramai yang berganding bahu, semakin ramai yang memerlukan dapat dibantu, selaras dengan semangat Whole of Society yang menekankan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat.” katanya. ,” katanya lagi.

Anjung Kasih Hospital Bintulu mencatat sejarah sebagai Anjung Kasih pertama di Sarawak yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat korporat.

Kemudahan ini turut menjadi Anjung Kasih pertama di Malaysia yang mengaplikasikan Anjung Kasih Management System bagi mempertingkat kecekapan dan memperkemas pengurusan penginapan waris pesakit. – MalaysiaGazette