Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Bintulu Port percepat transformasi digital
25 Nov 2025


BINTULU, 25 Nov: Usaha menaik taraf Bintulu Port sebagai pelabuhan pintar dan hijau terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif digital, termasuk penggunaan dron autonomi, sistem pintu masuk pintar dan platform operasi pelabuhan generasi baharu.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, transformasi itu selari aspirasi negara menuju Malaysia sebagai Negara AI 2030.

“Ini bukan sekadar sambutan, tetapi pengisytiharan bahawa kita bersedia menyambut masa depan, di mana teknologi dan kelestarian bergerak seiring memacu kemakmuran negara.

“Paling penting, ia mengisytiharkan bahawa Malaysia, khususnya Sarawak, berada pada kedudukan untuk memimpin era infrastruktur pintar, hijau dan dipacu digital,” katanya ketika merasmikan Bintulu Port Digital Day 2025 di Auditorium Menara Kidurong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan terus memperkukuh komitmen menjadikan Malaysia sebagai Negara AI 2030 dengan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat, keselamatan digital dan infrastruktur teknologi berskala besar.

Menurutnya, fokus tersebut selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang mengangkat kecerdasan buatan sebagai pemangkin utama pertumbuhan negara.

“Agenda nasional ini bukan sekadar mengenai penggunaan teknologi, tetapi memberi keutamaan kepada kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan dalam tadbir urus, perniagaan dan kehidupan seharian.

“Aspirasi ini berteraskan tiga matlamat utama menjadikan Malaysia hab AI serantau, menghasilkan produk Made by Malaysia, serta memastikan pembangunan inklusif dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, pelabuhan berkenaan kini berada dalam fasa pecutan digital dengan sasaran menjadi pelabuhan bersepadu sepenuhnya menjelang 2026.

“Sasaran pertama kami ialah menjadi Pelabuhan Operasi Bersepadu Sepenuhnya menjelang 2026, dengan semua sistem disambungkan tanpa gangguan dan aliran data bergerak secara masa nyata.

“Seterusnya, kami beraspirasi menjadi Pelabuhan Digital Sepenuhnya menjelang 2030 dengan memperkemas serta mengautomasikan proses bagi mengurangkan halangan, meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan lebih unggul,” katanya. - TVS