![]()
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis ulang tahun ke-30 Bintulu Port, di sini, malam tadi. Foto Nadim Bokhari (TVS)
Ketidaktentuan global dorong Sarawak perkukuh strategi tenaga
KUCHING, 15 April: Sarawak komited memperkukuh strategi ekonomi seiring mendepani ketidaktentuan global susulan ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri memberi tumpuan kepada keselamatan tenaga, kepelbagaian sumber serta pendigitalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran.
“Pada hari ini, kita beroperasi dalam dunia yang semakin tidak menentu. Ketegangan di Timur Tengah sekali lagi mengingatkan kita betapa rapuhnya rantaian bekalan tenaga global.
“Kita komited untuk meningkatkan kapasiti tenaga bagi memastikan Sarawak tidak terdedah kepada turun naik harga global,” katanya ketika berucap pada majlis ulang tahun ke-30 Bintulu Port, di sini, malam tadi.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan kapasiti tenaga sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030, sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga dan daya saing negeri.
“Usaha kepelbagaian tenaga kita, digabungkan dengan inisiatif kelestarian, akan memacu kita ke hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, Sarawak mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, hidrogen dan bahan api hijau.
“Tumpuan kita terhadap tenaga hijau bukan sekadar mengurangkan pelepasan karbon, tetapi untuk menjamin masa depan dan menarik pelaburan global,” katanya lagi.
Pendigitalan jelas beliau turut menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing, khususnya dalam sektor industri dan logistik.
Abang Johari juga menyifatkan Bintulu Port kekal sebagai aset strategik dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ia bukan sekadar sebuah pelabuhan, tetapi pintu utama kepada eksport tenaga dan pembangunan industri Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, pelabuhan itu akan terus memainkan peranan penting sejajar dengan perkembangan sektor tenaga baharu serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. – TVS